Pengenalan
Nira nipah merupakan minuman asli yang masih
mendapat sambutan bukan sahaja dari masyarakat Melayu tetapi juga dari
kaum-kaum lain. Di kampung-kampung, perusahaan nira nipah telah memberi hasil
atau pendapatan sampingan yang paling menguntungkan. Hampir kesemua bahagian
pokok nipah dapat dimanfaatkan oleh manusia.
Pokok nipah atau lebih dikenali dengan nama
saintifiknya sebagai "nypa fruiticans" hidup di kawasan berpaya,
lembah dan berlumpur. Ia mempunyai batang sulur bawah tanah dan akar palma ini
biasanya tersembunyi di dalam lumpur di mana ia tumbuh dan jarang didapati
terdedah di kawasan hakisan pinggir laut. Lapisan udara serta asas daun pokok
nipah ini memberikan daya apungan yang tinggi kepada akarnya. Daun tua akan
gugur apabila lapisan peluruhan sepanjang 2 kaki berlaku di bahagian terbawah
anak daun. Lapisan peluruhan kedua muncul di tempat di mana daun lebar pokok
itu bercantum dengan akar. Pelepah nipah boleh dijadikan atap yang baik dan di
mana sahaja boleh dilihat pelepah pokok ini ditebang tetapi anak-anak pokok
muda dipelihara. Manakala kutikel daun muda yang mempunyai kulit luar yang
kukuh, ditanggalkan, dipotong mengikut saiz, dibungkus dan dijual di seluruh
negara sebagai rokok daun.
Manakala pohonnya keluar di hujung sulur dan
batangnya bercabang serta membentuk serumpun nipah. Manakala bunga nipah,
keluar di celah-celah pelepahnya dan bergugus di hujung tangkai, menghasilkan
buah. Sesudah itu barulah buah dipangkas untuk mendapatkan air nira dan
jambangan bunga nipah menghasilkan gula yang banyak kira-kira 1 pain sehari
selama 3 bulan di mana hasilnya lebih kurang 11 gelen. Manakala titisan getah
pokok nipah ini boleh dijadikan arak atau tuak. Malahan buah nipah berbentuk
seperti baji. Struktur buahnya sama seperti buah kelapa. Buah ini ada sabut,
tempurung, isi dan air.Isi buah yang muda boleh dimakan dan biji benihnya yang
matang sangat keras. Pokok nipah terdapat 3 jenis di antaranya:
Pokok nipah sawa
Pokok nipah sawa mempunyai bentuk tangkai yang
panjang, perdu dan pelepah serta batang yang besar dan jangka hayatnya cuma
selama 3 bulan.
Pokok nipah tembaga
Pokok nipah tembaga mempunyai bentuk tangkai
yang sederhana, perdu dan pelepah serta batang sederhana besar dan jangka
hayatnya selama 2 bulan sahaja.
Pokok nipah ekor tikus
Pokok nipah ekor tikus pula mempunyai bentuk
tangkai, perdu dan pelepah serta batang yang kecil kecuali buahnya sahaja besar
dan jangka hayatnya selama 28 hari sahaja boleh menghasilkan nira.